Khamis, 2 Mei 2013

DEMAM PRU-13!!!

Tanggal dua hari lagi, rakyat Malaysia akan menunaikan tanggung jawab masing-masing untuk memilih pemimpin negara yang mereka inginkan. Tapi saya terkecuali daripada turut serta dalam pemilihan ini. Maklumlah, umur baru mencapai tahap usia 21 tahun, dua bulan lepas. Sekarang ini kelihatan pemimpin-pemimpin yang bertanding "buzy" ke hulu ke hilir berkempen bagi memenangi hati rakyat. Erm.. Tujuan saya menulis isu berhubung dengan PRU-13 ini bukanlah untuk berkempen. Tetapi sekadar ingin membuat perbandingan terhadap minda masyarakat khususnya golongan remaja berhubung isu politik. Remaja sekarang nampaknya jauh berbeza dari remaja dahulu. Mereka sudah boleh menilai politik walaupun pada usia muda.

Jika dahulu, seawal usia kami sekolah menengah, kami tidak mengenal apa itu politik. Politik bukanlah dunia kami. Kami juga tidak didedahkan dengan isu-isu politik. Saya masih ingat semasa PRU-12 yang lalu, usia  ketika itu 16 tahun, berada di tingkatan 4. Pada ketika itu, kami langsung tidak mengambil tahu apa sebenarnya matlamat PRU. Kami tetap "enjoy" dengan dunia kami yang langsung tidak memikirkan hal negara. Skop pemikiran kami dalam PRU cuma lah pada tahap daerah sahaja. Kami tidak mengetahui bahawa calon yang menang dalam pilihan raya ini akan memegang tampuk kepimpinan negara. Sejujurnya, di usia saya 16 tahun, saya masih tidak mengenali siapa Dato Sri Anuar Ibrahim (DSAI). Rasanya kalau terserempak di pekan atau di mana-mana memang saya akan memandang beliau seperti orang biasa. Maklumlah langsung tidak kenal dan tidak tahu rupa paras. Tambahan pula ketika itu saya bukan seorang yang gemar untuk membaca akhbar dan menonton berita. Lain lah kalau Pak Lah, oleh kerana beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri  ketika itu, memang wajib untuk dikenali. Namun Pak Lah sahaja lah yang dikenali, menteri kabinet yang lain langsung tidak di peduli. Ini membuktikan minda kami masih suci dari bayangan politik.

Di usia 17 tahun, saya pernah bercita-cita untuk menjadi ahli politik. Tapi itu bukanlah sebab saya mula mengambil tahu hal ehwal politik. Saya bercita-cita ingin menjadi ahli politik atas dasar saya minat berdebat. Setelah berkecimpung dan jatuh cinta pada dunia debat saya juga jatuh cinta pada kerjaya ahli politik. Pemikiran ketika itu sangat cetek. Bayangkan, saya cuma mengandaikan bahawa kerja ahli politik setakat berdebat di parlimen sahaja. Saya tidak pernah mengandaikan yang ahli politik perlu mendekati rakyat dan membantu rakyat di kala kesusahan. Oleh sebab minat terhadap debat yang memuncak, saya sertakan matlamat saya untuk menjadi ahli politik. Pada ketika ini juga saya mula mengenali siapa DSAI. Saya mengenali beliau bukanlah berjumpa secara bersemuka, tetapi mengikuti beliau dalam laman "YouTube". Oleh kerana beliau sering dikhabarkan sebagai seorang yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam pengucapan umum, saya sering menonton beliau berdebat dan berceramah di laman "YouTube". Namun demikian, tidak pernah pula saya secara serius untuk memahami segala isi kandungan yang beliau ujar kan melalui ceramah beliau. Apa yang saya pandang ialah dari segi gaya penyampaian dan intonasi beliau ketika berucap. Sebab itu lah juga pada ketika itu saya  masih tidak mengetahui segala permainan dalam arena politik. 

Pada usia 18 tahun barulah mula mengenali sedikit sebanyak dunia politik. Itu pun setelah mempelajari subjek Pengajian Am semasa memasuki tingkatan 6. Dari situlah mula memahami apa itu parti apa itu kerajaan dan apa itu politik. Walaupun tidak semua didedahkan berhubungan dengan isu-isu politik tetapi mula menyedari bahawa politik merupakan sesuatu yang penting dalam negara. Apabila meninggalkan zaman persekolahan, barulah nampak dunia politik yang sebenar. Dunia politik penuh dengan pelbagai isu yang di bangkitkan. Maklumlah, "politik tak akan hidup tanpa isu". Sejak dari itu minat untuk menjadi ahli politik kian pudar. Lama kelamaan minat mula beralih arah. 

Sekarang, apabila sudah menjejakkan kaki ke menara gading, memang tidak dapat lari dari membincangkan isu politik negara. Persekitaran kita juga mempengaruhi pemikiran politik kita. Saya melanjutkan pengajian di salah sebuah universiti di semenanjung Malaysia. Saya melihat, pemuda-pemuda di sini lebih mempunyai amalan dan pengaruh politik yang kuat. Sehinggakan isu yang berat pun mereka boleh hurai kan satu persatu dengan isi yang terperinci. Inilah yang membuatkan saya kagum dengan mereka apabila mereka membicarakan isu-isu berhubungan dengan politik. Saya mengandaikan pemikiran politik di zaman persekolah saya mungkin tidak pernah dirasai oleh mereka kerana mereka nampak lebih matang dalam membicarakan soal politik. Berbanding di kawasan kelahiran saya, belianya ramai yang kurang mengambil berat isu politik. Mungkin minat untuk berbicara soal politik tidak terlalu menebal. Itulah sebabnya rakan-rakan yang sebaya dengan saya lebih bersifat neutral apabila berbicara soal politik. Tidak menyokong mana-mana pihak. Mungkin juga mereka sedar yang mereka belum cukup matang untuk berbincang soal negara. Maklumlah, kami didedahkan dengan dunia politik pun di usia yang agak lewat. Sekarang ini masih mencari-cari parti mana yang terbaik untuk pilihan kami. 

Namun sekarang ia jauh berbeda, remaja zaman sekarang sudah lebih awal terdedah dengan dunia politik.  Disinilah peranan media diketahui. Media telah membantu mereka untuk mengenali dunia politik dengan lebih dalam terutamanya media moden seperti "facebook", "twitter" dan sebagainya. Ini saya akui sendiri di mana saya menyaksikan junior-junior sekolah lama saya pun ada yang sudah mula membicarakan isu politik walaupun usia masih mentah. Mereka seakan-akan mempunyai pegangan politik tersendiri dan turut serta dalam menyebarkan kempen-kempen politik melelui akaun media mereka. Walaupun nampak tidak aktif, namun perkembangan media ini sedikit sebanyak telah mendedahkan mereka daripada pelbagai maklumat politik. Tetapi saya terfikir juga, adakah mereka yang di usia mentah ini mengkaji setiap mesej kempen politik yang mereka saksikan sebelum mengkongsikankanya kepada khalayak umum. Ataupun mereka sekadar membaca dan memaparkan tanpa membuat sebarang kajian secara menyeluruh. Apa yang saya lihat, kempen-kempen yang dikongsikan bukanlah kempen yang bersifat membangunkan martabat sesuatu parti, tetapi lebih kepada usaha menjatuhkan parti lawan. Erm??? Kalau sekarang kita melihat remaja-remaja sekolah menengah sudah mula berjinak-jinak dalam politik akibat pengaruh mereka terhadap media, besar kemungkinan pada PRU-14 akan datang budak sekolah rendah juga sudah bijak berbicara soal politik.  

Apa yang saya dapat simpul kan di sini, semakin kita maju dalam menongkat arus perkembangan teknologi media, semakin mudah untuk kita mendapatkan sebarang maklumat. Pesanan ikhlas dari saya kepada golongan remaja-remaja yang masih bersekolah janganlah terlalu taksub dengan dunia politik. Ingat pelajaran perlu diutamakan. Tak guna jika anda hebat berpolitik tetapi cetek ilmu di dada. Jangan mudah terpengaruh dengan dakyah politik, kelak nanti bisa merosak jiwa. Buat mereka yang bisa mengundi, tunaikan tanggung jawab anda sewajarnya. Buatlah pilihan yang bijak sana. Anda penentu masa depan negara. Akhir kata, maaf di pinta andai tekasar bahasa. Karya ini cuma sebagai pandangan, bukan penghinaan atau kutukan kepada mana-mana pihak. Pandangan daripada seorang yang masih mencari dan meneroka ilmu yang ada. Ampun di pinta sekali lagi. Sekian. Wasalam...

Khamis, 13 Disember 2012

KINI AKU KEMBALI

KINI AKU KEMBALI!!!
Tajuk macam menarik! Sebenarnya tak lah menarik sangat pun. Cuma ingin memberitahu kerinduan terhadap penulisan blog. Lama kot dah tak melawat laman yang bersawang ne.. hahaha... Dah lebih 5 bulan rasanya. Sampai-sampai dah tak ingat "pasword" dan cara nak buka blog lagi. Bergaru-garu juga kepala sebelum nak buka tadi. hahaha.. Sebenarnya, bukan tak nak melawat. Tapi terlalu banyak kekangan. Tugasan berlambak. Kerja yang banyak. Dan macam-macam lagi yang perlu di belak-belak. Kalau ikut kata Mahasifu DAMS, itu semua ALASAN!!. Kalau hati rasa nak buat, "se-buzy" mana pun kita pasti dapat buat. Sedangkan PM yang dok berlambak kerja pun boleh menulis blog. Inikan pula yang kita cuma bergelar pelajar. Kan? Pengajarannya di sini "Jangan cari ALASAN, tetapi cari PENYELESAIAN".

Bercerita pasal kembalinya aku ke dunia blog ne sebenarnya ada banyak benda yang hendak aku kongsikan. Tapi belum tertulis lagi. Dari cerita zaman persekolahan sehinggalah ke zaman bergelar seorang siswa. Semuanya ada cerita-cerita tersendiri. Di mana kenangan bersama kawan lama. Cabaran dan dugaan bersama kawan baru. Semuanya sudah besarang di dalam kotak fikiran ku. Cuma tinggal masa untuk meluahkannya je lagi. Benar kata orang, kadang-kadang perasaan ini tidak dapat diluahkan cuma dengan kata-kata, tapi lebih mudah untuk kita luahkan dengan tulisan. Itu lah sebabnya ramai yang meluahkan perasan kat "Facebook". Walaupun pada dasarnya ia lebih terbuka dan dipaparkan secara umum, namun zaman sekarang orang lebih mudah meluahkannya berbanding bersemuka secara peribadi. Begitulah juga aku, rasanya aku lebih suka meluahkan dengan tulisan. Namun begitu kena melihat juga apa yang hendak kita luahkan. Jika ia bersangkut paut dengan soal peribadi yang boleh mengaibkan diri dan keluarga kita, rasanya lebih rela memendamkan di dalam hati. Biarlah kita cuma yang tahu. Bukan apa, rasanya tak elok untuk kita membuka pekong di dada. Mungkin orang akan suka dengan cerita kita, mungkin juga orang akan simpati dengan cerita kita, namun pada hakikatnya jika soal peribadi kita diketahui secara umum rasanya lebih mudah untuk orang menjatuhkan kita dari membantu membersihkan nama kita. Akhirnya daripada seorang yang bermaruah menjadi seorang yang tidak bermaruah.





Rasanya ini lah saja yang dapat dikongsikan pada hari ini, walaupun tak menarik namun bolehlah juga mengubati rasa rindu dihati untuk menulis di laman blog. Mengharapkan selepas ini projek penulisan blog ini tidaklah tergendala.. hahaha...  

Khamis, 21 Jun 2012

DUNIA SI BUDAK DEBAT

Bismillah-ir-rahman-ir-rahim...

Dunia debat penuh dengan 1001 lakaran rona-warna perasaan. Suka, duka, riang, ria, derita, emosi, semua ada dalam kehidupan sebagai seorang pendebat. Segala rasa perasaan ini sudah sebati di hati nubari seorang budak debat. Aku salah seorang budak debat. Dunia debatku di penuhi dengan jutaan rencah perasaan. Mungkin orang lain tidak mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik nama "Pasukan Debat". Dari pandangan luaran, ia agak menyeronokkan, membanggakan, dan boleh mengangkat nama seseorang. Namun hakikatnya, perasaan itu bukan cuma bermadu, tetapi terselit juga hempedu. Hempedu yang amat pahit untuk ditelan, tetapi mampu mengukir jutaan senyuman. Semua rasa ini tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Cuma mereka yang merasai akan mampu memahami.
Aku dan Kak Erlisa..
Hari Sabtu lepas, aku bersama Kak Erlisa (ketua pasukan debatku pada tahun 2009 yang juga merupakan pemegang takhta pembahas terbaik Peringkat Negeri Sarawak selama dua tahun) untuk menyaksikan Pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak Peringkat Zon H (PKM) di RTM Limbang, yang mempertemukan SMK Limbang dan SMK Kubong. Melihat telatah kedua-dua pasukan debat beraksi di atas pentas, tergamit pula rasa rindu untuk turut beraksi. Tapi apakan daya, bak kata Kak Erlisa " kita kena terima kenyataan, zaman kita sudah berakhir". Hemm.. Hanya mampu memberikan secebis senyuman mendengar ayat itu. Cuba menerima kenyataan yang kami bukan lagi budak sekolah..
Pasukan Debat SMK Kubong Limbang & SMK St. Anthony Sarikei
Aku terjebak di dunia bermadah helah ini secara tidak di sengajakan. Sebenarnya, aku tidak mempunyai sebarang latar belakang seorang pengucap awam. Bercakap di hadapan umum pun tersekat-sekat, tangan terketar-ketar, lutut pula menggeletar dan jantungku sentiasa berdebar-debar. Bagiku, tidak mungkin aku mampu untuk berdiri di hadapan orang ramai untuk mempertegakkan kebenaran. Sepanjang usiaku 15 tahun, aku tidak pernah mengikuti apa-apa pertandingan yang melibatkan pengucapan awam sama ada di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Al-maklumlah, aku ini seorang yang berjiwa gugup. Kemahiran untuk menampilkan diri di hadapan orang ramai, memang lingkup. Tetapi itu dulu, sekarang sudah jauh berbeda. Dari orang yang tidak pakar berceloteh, sekarang sudah menjadi seorang yang terlebih celoteh. Walaupun aku bukanlah seorang yang hebat untuk beraksi di pentas debat, namun aku amat mensyukuri kurniaan bakat yang diberikan kepadaku setelah aku berusia 17 tahun. Bakat yang dulunya tidak ada dalam diriku kini kini sudah mula menyinar dek kerana digilap oleh seorang Mahasifu.
Mahasifu Debat SMK Kubong Limbang 
Tersebutlah kisah kenapa, mengapa dan bagaimana aku boleh digelar sebagai budak debat. Erm.. Mengimbau kembali kenangan dulu, sebenarnya aku bukanlah seorang peminat debat. Malahan tidak pernah terlintas di fikiran untuk menjadi seorang pendebat. Aku masih ingat sewaktu aku berada di tingkatan tiga, di mana aku diminta membaca teks debat untuk kali pertamanya oleh Ustazah Dayang Azizah di dalam Bilik Multimedia. Sebenarnya perjumpaan aku dengan jurulatih debat sekolah itu tanpa di sengajakan. Erm.. Kisahnya bermula begini : Pada hari itu, sekolah telah mengadakan Hari Jogathon. Memandangkan aku salah seorang pengawas sekolah, aku diminta untuk bertugas pada hari itu. Oleh sebab aku ini seorang yang pemalas, aku lari memontengkan diri dari bertugas. Bersembunyilah aku seorang diri di tangga untuk menuju ke perpustakaan sekolah. Sedang aku bersembunyi, tiba-tiba, tanpa aku sedari  seorang ahli pasukan debat sekolah telah menyapaku. Terkejut juga ketika itu, ingatkan dia menyampaikan pesanan ketua pengawas untuk mencariku. Rupanya dia sekadar bertanya mengapa aku berada seorang diri di situ. Aku cuma mampu menjawab soalan itu dengan senyuman hambar. Setelah beberapa minit kami berbual, dia pun mengajak aku untuk berkunjung ke Bilik Multimedia bagi menemaninya menghantar bungkusan makanan kepada guru debat mereka. Tanpa berfikir panjang, aku bersetuju untuk menemaninya. Selangkah aku menjejakkan kaki ke Bilik Multimedia, aku sudah terlihat gelagat Ustazah Azizah yang sibok menghadap komputer ribanya. Setelah beberapa minit aku berada di dalam Bilik Multimedia sambil mendengar perbualan di antara anak debat dan mak debat, tiba-tiba mak debat memanggilku ke hadapan. Soalan pertama yang ditanya, Nama? Kelas?. Sepatah soalan di tanya sepatah jugalah yang aku jawab. Selepas itu, beliau bertanya lagi "kamu minat untuk menjadi pembahas?". Soalan itu aku cuma jawab dengan isyarat gelengan kepala. Tetapi walaupun jawapan yang aku berikan cuma dengan isyarat kepala tidak minatku, beliau tetap memintaku untuk membaca sedikit sedutan teks bahas yang terampai di atas meja sebelahnya. Terpaku juga aku mendengar pemintaannya. Melihat pandangannya terhadapku yang umpama singa kelaparan, aku pun menuruti kemahuannya. Kalau tidak di ikuti nanti takut pula di baham. Aku cuma membaca beberapa potong ayat yang tertulis di atas kertas putih itu. Komennya terhadapku, "suara kamu boleh di komersialkan", dan beliau meminta untuk aku memasuki ahli Kelab Orato pada tahun hadapannya. Aku cuma menganggukkan kepala mendengar cadangan beliau itu, namun hati kecilku tertanya-tanya, "apakah bendanya Kelab  Orato itu?" Tanpa bertanya, aku kuburkan persoalan itu. Aku biarkan ia bersemadi, bagiku tidak mungkin aku akan memasuki kelab yang tidak aku ketahui itu.
Kenangan Rumah Hijau..
Setelah aku berada di tingkatan empat, Aku langsung tidak mengingati kehendak yang diminta oleh mahasifu debat sekolah itu. Tibalah masa untuk pemilihan kelab kokurikulum, aku tetap memilih kelabku dulu iaitu Kelab Pengguna. Sehinggalah aku terserempak mahasifu di hadapan tangga koperasi, beliau bertanya kepadaku : "Mengapa tidak menghadirkan diri dalam perjumpaan pertama Kelab Orato?". Aku cuma menjawab yang aku sudah memasuki Kelab Pengguna. Ujarku lagi namaku sudah di label dalam kelab tersebut. Namun jawapanku dibidas mudah dengan mengatakan yang beliau akan berjumpa Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah untuk menukarkan namaku masuk ke kelab yang tidak aku fahami maksudnya itu. Beliau juga meminta untuk aku menghadirkan diri dalam perjumpaan kelab kedua pada minggu hadapannya. Aku cuma menelan air liur mendengar penjelasannya itu. Hendak aku bidas, tiada kemahiran. Lagi-lagi pangkatnya sebagai mahasifu debat sekolah. Memang gentar hendak berhadapan. 
Anak-anak Debat Ummi
Seminggu kemudian, tibalah saat perjumpaan kelab. Pagi itu, berfikir juga aku untuk masuk ke Kelab Orato. Masuk. Tidak. Masuk. Tidak. Itulah yang menjadi igauan di fikiranku. Namun pada petang itu aku beranikan diri juga untuk mengikuti perjumpaan kelab tersebut yang di adakan di kelas 1B. Aku lihat dari jendela luar kelas, hampir semua ahlinya perempuan. Si jejaka pula boleh dikira dengan jari jumlahnya. Setelah aku memasuki kelas tersebut, baru aku menyedari rupanya cuma aku seorang pelajar tingkatan empat di situ. Rata-rata ahlinya pelajar tingkatan dua. Pelajar tingkatan satu, tiga, lima dan enam tidak pun mencecah tujuh orang bilangannya jika di campur kesemua. Hendak aku berpatah balik keluar dari kelas tersebut, mahasifu sudah menjemputku memilih tempat duduk yang aku inginkan. Sepanjang aku berada di situ aku cuma mendiamkan diri. Maklumlah, ahli yang aku biasa cuma beberapa orang. Yang lainnya, nama pun aku tak tahu. Nasiblah ada juga penyedap mata memandang yang membuatkan aku betah di dalam kelas tersebut (ahahak.. cerita  tergendala sedikit.. tidak boleh dipapar umum). Bermula daripada hari itu, tersematlah aku sebagai ahli Kelab Orato. Aku hadirkan diri di hari-hari perjumpaan. Kelab yang dahulunya tidak aku ketahui kepentingannya kini aku mula fahami.
SMK Kubong Limbang & SMK Merudi Baram Miri
Di pertengahan tahun tingkatan empat mahasifu mempelawa aku untuk mengikuti pemilihan peserta bagi mewakili Pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak Zon H. Terkebil-kebil juga aku ketika itu. Tetapi apa-apapun aku tetap mencuba. Walaubagaimanapun aku tidak terpilih. Aku tidak kecewa ketika itu. Malahan aku merasa lagi seronok kerana itu memang harapanku. Aku juga sedar, yang aku memang tidak akan terpilih punya! Dengan tanganku yang terketar-ketar memegang kertas, sebutanku yang tak pernah nak betul, memang tidak ada rupa seorang pendebat tatkala aku membaca di hadapan. Tetapi walaupun aku tidak terpilih, aku tetap di beri peluang untuk mengikuti beberapa sesi latihan debat. Di situlah aku mula mempelajari bagaimana hendak berdebat. Di situlah juga aku menyedari bahawa berdebat bukanlah perkara yang mudah. Berdebat bukan hanya bercakap dan menghafal teks semata-mata tetapi memerlukan kebolehan-kebolehan lain untuk memantapkan lagi persembahan. Dalam latihan dunia perdebatan ini, aku andaikan seperti latihan olahraga. Setiap hari kita kena berlatih agar memperoleh stamina yang secukupnya untuk berdebat. Cuma bezanya dalam olahraga memerlukan kekuatan fizikal namun dalam dunia perdebatan memerlukan kekuatan mental. Mental kena kuat untuk menerima apa saja kritikan, pandangan, cacian, yang dilemparkan terhadap persembahan yang kita berikan. Jika ego yang ditampilkan, memang tidak kemanalah kita di persada debat ini. Cuma bertahan di tampuk kebolehan yang sama.
Semangat Jingga 2009..
Semasa aku berada di tingkatan lima, sekali lagi aku di beri peluang untuk mengikuti pertandingan bahas. Aku masih ingat, di awal bulan Februari, di mana aku diminta untuk menyertai Pertandingan Bahas Piala Parlimen Peringkat Bahagian Limbang. Itulah pertandingan debat pertama yang aku ikuti. Pada masa itu, aku  ditempatkan sebagai pembahas kedua. Di hari pertandingan, memang seram sejuk aku rasakan. Seawal kumpulan kami ditempatkan di Bilik Kuarantin lagi, jantungku sudah berdentum kencang mengalahkan pukulan gendang Cina ketika musim perayaan Tahun Baru Cina. Belum bercerita lagi di saat pertandingan, memang bergetar seluruh tubuhku. Kelibatku ibarat mendapat penyakit "pakinson" ketika beraksi. Cuma tuhan saja yang tahu betapa gemuruhnya aku rasakan. Dalam pertandingan itu, pasukan kami kurang bernasib baik. Kami kalah di tangan pasukan lawan. Walaubagaimanapun, keputusan itu langsung tidak mengecewakan aku. Bagiku, itu adalah pengalaman pertamaku. Dan bukannya penghujung perjuanganku.
Hanif, Hasif, Liyana, Erlisa
Semasa pemilihan pasukan bahas PKM, aku sekali lagi diberi peluang untuk mengikutinya. Percubaanku dalam uji bakat yang dianjurkan di antara ahli Kelab Orato kali ini diterima. Aku dibawa masuk menjadi ahli baru untuk pasukan bahas PKM. Tempat kedudukanku dalam pasukan debat ini masih sama seperti dalam Pertandingan Bahas Parlimen lepas. Pada mulanya, aku kurang minat untuk menjadi pendebat PKM. Tetapi  mataku sedikit terbuka setelah di khabarkan tentang habuan yang akan aku terima jika pasukan sekolah mendapat johan dalam pertandingan itu. Tambahan lagi peluang untukku melancong keluar dari Limbang agak banyak. Itulah yang membuatkan hatiku tertarik lebih daripada minatku terhadap bahas. Hari demi hari aku mengikuti latihan gempur pasukan debat. Dalam sesi latihan yang berpanjangan ini, barulah aku merasakan kesensaraan, kepedihan, kederitaan, kesakitan dan segala macam keperitan menjadi budak debat. Bayangkan  sepanjang masa dihabiskan dengan latihan debat. Setiap petang latihan debat akan bermula dari jam 0200 hinggalah larut senja. Kadang-kala, latihan ini berlarutan sehingga malam. Pada masa itu, cuma Bilik Multimedia menjadi saksi kesengsaraan yang kami hadapi. Namun semua ini dilakukan bukanlah untuk penyeksaan, tetapi lebih kepada bantuan untuk menampilkan persembahan yang berkualiti ketika di atas pentas nanti. 
Pentas Akhir Pertandingan Bahas PKM 2009
Kenangan Terindah..
Dengan latihan yang jitu, semangat yang kental, akhirnya usaha kami membuahkan hasil. Satu demi satu pertandingan kami tempuhi dengan kemenangan. Sehinggalah pertandingan di Peringkat Akhir. Kejuaraan milik pasukan sekolah kami. Tiada kata yang mampu diungkapkan ketika itu. Kesengsaraan dan kepedihan yang kami hadapi sebelum itu di balas dengan kegembiraan. Hadiah wang tunai bernilai RM3000 menjadi habuan. Bermula dari saat itu, minatku terhadap dunia debat kian subur. Aku dulunya lebih berkiblatkan habuan kini benar-benar sudah menjiwai dunia perdebatan. Bagiku habuan yang tinggi tidak mampu membayar segala kenangan yang terdapat dalam lensa pasukan debat. Kenangan yang terindah ini cuma mampu dimiliki oleh mereka yang bergelar budak debat.
Bingkisan debat 2010
Pasukan Debat 2010
Tahun kedua aku menjadi budak debat ialah semasa di tingkatan 6 rendah. Tahun ini juga wujud dramanya yang tersendiri. Pada mulanya, aku tidak berniat hendak memasuki tingkatan 6 rendah. Niatku lebih tertumpu untuk terus memijakkan kaki ke menara gading. Namun  apakan daya, bekalan keputusan SPMku cuma melayakkan aku mendapat pangkat sijil sahaja jika aku meneruskan niatku untuk menuntut di Menara Gading. Oleh sebab itu, niatku beralih arah kepada STPM. Pada tahun ini, aku diserap secara terus masuk pasukan debat sekolah. Tanpa pertandingan di peringkat bahagian, aku  di bawa untuk mewakili peringkat Negeri. Penyertaanku dalam ahli debat tahun ini sudah lama aku ketahui iaitu ketika aku masih menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) lagi.  Selesai PLKN, dengan penampilan ala-ala tentera, rambut botak skala 1cm, aku terus mendaftarkan diri ke sekolah. Belum sampai sebulanpun aku bergelar pelajar PRA-U, bermulalah kehidupanku sebagai budak debat semula. Latihan masih dijalankan seperti dahulu. Cuma berbeda tempat latihan dan ahli wanita pasukan debat. Kalau dulu menghabiskan masa di Bilik Multimedia, tetapi kini lebih kerap berlatih di Bilik Kokurikulum. Kalau dulu berlatih bersama Kak Erlisa dan Liyana, tetapi kini berlatih bersama Nadzirah dan Nadhirah. Itu cuma perubahan tempat dan ahli, namun cara sesi latihan gempur masih tidak berubah. Dalam pertandingan debat tahun 2010 ini, kami juga berjaya membawa nama sekolah ke pentas akhir. Namun rezeki tidak menyebelahi kami untuk bergelar juara, kami cuma akur dengan tempat kedua dalam pertandingan ini. Tetapi kami tetap bersyukur kerana di beri peluang untuk menjejakkan kaki ke pentas akhir. 
Aku Budak Debat..

SMK Agama Limbang &  SMK Kubong Limbang..
Tahun lepas merupakan tahun terakhir aku mengikuti pertandingan debat. Maklumlah, tahun terakhir menjadi budak sekolah. Dalam pertandingan debat 2011 ini, tidak banyak pengalaman hendak di kongsikan. (kalau benda untuk disangsikan tu ada lah.. ahahak). Tahun ini, merupakan tahun kejuaraan kali keenam SMK Kubong dalam pertandingan Bahas PKM peringkat zon H. Tahun ini juga aku telah dinobatkan sebagai pembahas terbaik peringkat zon H. Dalam pertandingan di peringkat negeri pula, rezeki sekali lagi tidak menyebelahi kami. Kami tewas di peringkat pertama. Perasaan ketika itu memanglah kecewa. Semangat kejuaraan punah di tengah jalan. Hanya pasrah yang menjadi pedamba hati. Walaupun kami pulang dengan hati yang lara, namun fikiran yang sentiasa positif menebal di dada. Bagi aku, setiap perkara yang terjadi itu ada hikmahnya. Dan hikmah dari kekalahan itu memang terpapar jelas di hadapan mata. Hanya mampu mengucapkan kesyukuran ketika diri berkalung hikmah dari-NYA. Ungkapan terima kasih ALLAH sentiasa terkumat di hujung bibir.
Pasukan Debat 2011..
Kilauan Emas..
Pasukan debat ibarat keluarga. Segala pemasalahan kita tempuh bersama. Di sinilah kami mengukir senyuman.  Di sinilah juga kami memendam keresahan. Segala cerita kami kongsi bersama. Segala gosip dikontrovasikan sekata. Perhubungan ini akan terjalin sampai bila-bila. Kalau hendak dijadikan cerita, terlalu banyak hendak dikata. Mungkin bisa mencipta satu novel setebal tiga inci yang mengisahkan kehidupan seorang budak debat. Cukuplah sekadar  bercerita tentang perjalanan seorang budak debat yang dulunya kosong tentang ilmu perdebatan kini sudah mula menyuburkan bibit-bibit tanaman dunia debatnya. Untuk menjadi seorang pendebat bukanlah semudah yang di sangkakan. Tetapi urusan itu akan menjadi mudah jika keikhlasan hati ditampilkan. Keegoan harus ditepis. Segala kritikan, tohmahan, cacian serta pujian sama ada dari guru, ahli debat, pelajar, orang biasa dan mereka yang langsung tidak tahu ilmu debat, harus diambil kira. Janganlah  kita cuma mendengar pandangan mereka yang menakluki keluasan ilmu tentang debat. Kerana, jika kita mampu menyakinkan mereka yang tidak mengetahui tentang ilmu debat dengan cara kita berdebat, nescaya anda seorang pendebat yang hebat. Pesanan terakhir kepada mereka yang mengidam hendak menjadi budak debat, teruskan perjuangan anda. Kerana dunia ini pasti kau miliki. Ampun dipinta jika terkasar bahasa. Salam Ukuwwah! Salam Perdebatan!!

Jumaat, 8 Jun 2012

PENA PERTAMA

Bismillah-ir-rahman-ir-rahim.

Sejarah terukir pada hari ini, di mana aku sudah memulakan jejak untuk berjinak-jinak dalam dunia penulisan. Aku bukanlah seorang yang mempunyai bakat besar dalam bidang penulis. Malahan belum pernah ada sejarah hidup mendapat pujian dan sanjungan oleh mana-mana pihak berkaitan dengan karya penulisan. Bagiku, ilmuku begitu kontang untuk di kongsikan kepada umum. Mungkin itu juga salah satu sebab aku kurang yakin untuk untuk menghasilkan karya. Walaupun pada dasarnya di lubuk hati kecilku sering kali terdetik perasaan untuk berkecimpung dalam bidang penulisan ini. Banyak anganku sekadar bersemadi di dalam kotak fikirku. Angan untuk mengikuti pertandingan menulis cerpen, puisi, esei dan sebagainya hanya menjadi bayangan gurauan semata-mata. Mungkin juga kerna hatiku belum benar-benar ikhlas untuk berjuang dalam bidang penulisan ini. Sebenarnya, jujur ku katakan niat utamaku untuk mengikuti pertandingan penulisan itu lebih kepada untuk mendapatkan habuan yang lumaian. Biasalahkan jiwa remaja, masih tertumpu kepada dunia kebendaan. Ingin memiliki benda yang mewah-mewah walaupun pada hakikatnya kemampuan terbatas. Tetapi cara ini agak lebih baik untuk kita menambahkan pendapatan di usia remaja berbanding kita melakukan perkara-perkara yang melanggar hukum syarak. Setuju?. Erm, berbalik kepada sifat ke tidak ikhlasan hatiku untuk meneraju dunia penulisan ini, mungkin itu adalah satu sebab mengapa tuhan membantutkan ilhamku untuk berkarya. Kini aku sedar, benar kata sifuku, Ustazah Dayang Azizah Mohd Salleh, menulis perlu ada keikhlasan. Keikhlasan itu merupakan rentetan untuk menggilap potensi penulisan. Dan kini aku mencuba untuk mengikuti jejak beliau melakar sejarah di dunia penulisan.


Sifu karya ku..



Sebenarnya, cetusan idea untuk menghasilkan blog ini adalah hasil daripada suntikan motivasi daripada sifuku yang lebih mesra dipanggil dengan gelaran Ummi Izzah. Sebelum ini, tidak terlintas pun di fikiran untuk memiliki blog sendiri. Bukan apa, jiwa ini masih terbeban dengan pelbagai persoalan seperti "mampu kah aku?" "ada idea kah aku?" "apa yang hendak aku kongsikan?" (aku pun tak tahu). Semua ini melemahkan semangatku untuk memiliki blog. Tapi hari ini ku kuatkan semangatku untuk mencuba menyelam dan berenang dalam dunia penulisan blog ini. Ku zahirkan kata "Nak seribu daya" yang sering di ungkapkan oleh sifuku kepadaku. Ku ikhlaskan hatiku untuk berkongsi niatku. Mungkin ini permulaan bagiku mengasah bakat ke arah dunia penulisan yang sebenar. Dan aku cuma mampu berharap agar tuhan memberikan kekuatan untuk aku bertapak di dunia ini dengan lebih lama. Impianku untuk berjinak di dunia yang penuh imaginasi ini ku harap tidak hanya membara seketika cuma umpama lepakkan tahi ayam yang pertama.


Aku bukanlah seorang anak sastera. Sebelum ini juga, tidak pernah mempelajari ilmu sastera secara khusus. Belajar subjek sastera pun cuma sementara, ketika berada di tingkatan 6 bawah 5 yang merupakan kelas Sastera-Sejarah. Kira-kira dua bulan juga aku bertapak di dalam kelas itu. Selepas itu, aku berhijrah ke kelas 6 bawah 2 yang mengambil bidang Ekonomi-Geografi. Perpindahanku itu atas dasar aku merasakan yang aku tidak mampu untuk untuk mempelajari ilmu sejarah. Lagi pula aku bukanlah seorang yang minat membaca. Bayangkan, sebanyak empat buku Sejarah yang setebal kira-kira tiga inci setiap satu perlu ku khatamkam. Belum lagi di tambah dengan buku Sastera yang juga serupa bilangannya. Lagi-lagi buku Pengajian am dan Bahasa Melayu yang tidak kurang tebalnya. Kalau nak membaca semua buku tersebut dari kulit ke kulit, rasanya tujuh tahun pun belum tentu habis  ku baca. Maklumlah tak minat membaca. Sepanjang 20 tahun usia ku cuma dua novel yang pernah ku khatamkan. Itu pun mengambil masa berminggu-minggu untuk menghabiskan setiap lembaran dan menjiwai setiap perwatakan yang ada dalam novel tersebut. Kalau novel Komsas Bahasa Melayu yang pernah ku pelajari sejak di  tingkatan satu hingga lima, belum pernah sekalipun habis terbaca. Yang aku baca, sinopsis, sinopsis, sinopsis!. Itulah saja yang ku tahu.


"Omong-mengomong" "bermadah-helah" "kata-mengata" dan seumpama dengannya, memanglah menjadi kepakaranku semenjak menceburkan diri dalam dunia pengucapan awam. Tapi untuk "ayat-mengayat" agak sukar bagiku. Aku bukan seorang yang berjiwa sastera seratus peratus, bijak memberikan ayat-ayat yang penuh dengan taburan bunga-bungaan. Tetapi aku ingin mencuba. Cuba dan terus mencuba. Biarpun kebolehan ini agak terbatas sifatnya, namun jiwa ini ingin berlari pantas ke hadapan sana. Ini permulaan ku. Mengharap ini bukan penghujugku. Tetapi aku masih memerlukan pertolongan daripada insan-insan di sekelilingku terutama mentorku. ( tunjuk ajar ku sifu ).






Alhamdulillah, pintu hati sudah terbuka untuk berkongsi ilmu yang tidak seberapa ini kepada umum. Perkongsian ini bukanlah untuk menunjukkan kekuatan dan kelebihan, tetapi adalah sekadar untuk memberikan inspirasi kepada mereka yang juga ingin berjinak-jinak di alam karya penulisan. Mungkin ada juga mereka yang di luar sana mempunyai minat dan impian seperti mana aku. Tetapi belum mampu untuk merialisasikanya. Nasihatku cuma satu : buka pintu hatimu untuk menabur ilmu dengan seikhlas-ikhlasnya. Jangan biarkan mindamu dijajah dengan perasaan tidak mampu kerana itu akan menghancurkan niat mu.. Salam Ukhuwwah !..