Bismillah-ir-rahman-ir-rahim...
Dunia debat penuh dengan 1001 lakaran rona-warna perasaan. Suka, duka, riang, ria, derita, emosi, semua ada dalam kehidupan sebagai seorang pendebat. Segala rasa perasaan ini sudah sebati di hati nubari seorang budak debat. Aku salah seorang budak debat. Dunia debatku di penuhi dengan jutaan rencah perasaan. Mungkin orang lain tidak mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik nama "Pasukan Debat". Dari pandangan luaran, ia agak menyeronokkan, membanggakan, dan boleh mengangkat nama seseorang. Namun hakikatnya, perasaan itu bukan cuma bermadu, tetapi terselit juga hempedu. Hempedu yang amat pahit untuk ditelan, tetapi mampu mengukir jutaan senyuman. Semua rasa ini tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Cuma mereka yang merasai akan mampu memahami.
 |
Aku dan Kak Erlisa.. |
Hari Sabtu lepas, aku bersama Kak Erlisa (ketua pasukan debatku pada tahun 2009 yang juga merupakan pemegang takhta pembahas terbaik Peringkat Negeri Sarawak selama dua tahun) untuk menyaksikan Pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak Peringkat Zon H (PKM) di RTM Limbang, yang mempertemukan SMK Limbang dan SMK Kubong. Melihat telatah kedua-dua pasukan debat beraksi di atas pentas, tergamit pula rasa rindu untuk turut beraksi. Tapi apakan daya, bak kata Kak Erlisa " kita kena terima kenyataan, zaman kita sudah berakhir". Hemm.. Hanya mampu memberikan secebis senyuman mendengar ayat itu. Cuba menerima kenyataan yang kami bukan lagi budak sekolah..
 |
Pasukan Debat SMK Kubong Limbang & SMK St. Anthony Sarikei |
Aku terjebak di dunia bermadah helah ini secara tidak di sengajakan. Sebenarnya, aku tidak mempunyai sebarang latar belakang seorang pengucap awam. Bercakap di hadapan umum pun tersekat-sekat, tangan terketar-ketar, lutut pula menggeletar dan jantungku sentiasa berdebar-debar. Bagiku, tidak mungkin aku mampu untuk berdiri di hadapan orang ramai untuk mempertegakkan kebenaran. Sepanjang usiaku 15 tahun, aku tidak pernah mengikuti apa-apa pertandingan yang melibatkan pengucapan awam sama ada di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Al-maklumlah, aku ini seorang yang berjiwa gugup. Kemahiran untuk menampilkan diri di hadapan orang ramai, memang lingkup. Tetapi itu dulu, sekarang sudah jauh berbeda. Dari orang yang tidak pakar berceloteh, sekarang sudah menjadi seorang yang terlebih celoteh. Walaupun aku bukanlah seorang yang hebat untuk beraksi di pentas debat, namun aku amat mensyukuri kurniaan bakat yang diberikan kepadaku setelah aku berusia 17 tahun. Bakat yang dulunya tidak ada dalam diriku kini kini sudah mula menyinar dek kerana digilap oleh seorang Mahasifu.
 |
Mahasifu Debat SMK Kubong Limbang |
Tersebutlah kisah kenapa, mengapa dan bagaimana aku boleh digelar sebagai budak debat. Erm.. Mengimbau kembali kenangan dulu, sebenarnya aku bukanlah seorang peminat debat. Malahan tidak pernah terlintas di fikiran untuk menjadi seorang pendebat. Aku masih ingat sewaktu aku berada di tingkatan tiga, di mana aku diminta membaca teks debat untuk kali pertamanya oleh Ustazah Dayang Azizah di dalam Bilik Multimedia. Sebenarnya perjumpaan aku dengan jurulatih debat sekolah itu tanpa di sengajakan. Erm.. Kisahnya bermula begini : Pada hari itu, sekolah telah mengadakan Hari Jogathon. Memandangkan aku salah seorang pengawas sekolah, aku diminta untuk bertugas pada hari itu. Oleh sebab aku ini seorang yang pemalas, aku lari memontengkan diri dari bertugas. Bersembunyilah aku seorang diri di tangga untuk menuju ke perpustakaan sekolah. Sedang aku bersembunyi, tiba-tiba, tanpa aku sedari seorang ahli pasukan debat sekolah telah menyapaku. Terkejut juga ketika itu, ingatkan dia menyampaikan pesanan ketua pengawas untuk mencariku. Rupanya dia sekadar bertanya mengapa aku berada seorang diri di situ. Aku cuma mampu menjawab soalan itu dengan senyuman hambar. Setelah beberapa minit kami berbual, dia pun mengajak aku untuk berkunjung ke Bilik Multimedia bagi menemaninya menghantar bungkusan makanan kepada guru debat mereka. Tanpa berfikir panjang, aku bersetuju untuk menemaninya. Selangkah aku menjejakkan kaki ke Bilik Multimedia, aku sudah terlihat gelagat Ustazah Azizah yang sibok menghadap komputer ribanya. Setelah beberapa minit aku berada di dalam Bilik Multimedia sambil mendengar perbualan di antara anak debat dan mak debat, tiba-tiba mak debat memanggilku ke hadapan. Soalan pertama yang ditanya, Nama? Kelas?. Sepatah soalan di tanya sepatah jugalah yang aku jawab. Selepas itu, beliau bertanya lagi "kamu minat untuk menjadi pembahas?". Soalan itu aku cuma jawab dengan isyarat gelengan kepala. Tetapi walaupun jawapan yang aku berikan cuma dengan isyarat kepala tidak minatku, beliau tetap memintaku untuk membaca sedikit sedutan teks bahas yang terampai di atas meja sebelahnya. Terpaku juga aku mendengar pemintaannya. Melihat pandangannya terhadapku yang umpama singa kelaparan, aku pun menuruti kemahuannya. Kalau tidak di ikuti nanti takut pula di baham. Aku cuma membaca beberapa potong ayat yang tertulis di atas kertas putih itu. Komennya terhadapku, "suara kamu boleh di komersialkan", dan beliau meminta untuk aku memasuki ahli Kelab Orato pada tahun hadapannya. Aku cuma menganggukkan kepala mendengar cadangan beliau itu, namun hati kecilku tertanya-tanya, "apakah bendanya Kelab Orato itu?" Tanpa bertanya, aku kuburkan persoalan itu. Aku biarkan ia bersemadi, bagiku tidak mungkin aku akan memasuki kelab yang tidak aku ketahui itu.
 |
Kenangan Rumah Hijau.. |
Setelah aku berada di tingkatan empat, Aku langsung tidak mengingati kehendak yang diminta oleh mahasifu debat sekolah itu. Tibalah masa untuk pemilihan kelab kokurikulum, aku tetap memilih kelabku dulu iaitu Kelab Pengguna. Sehinggalah aku terserempak mahasifu di hadapan tangga koperasi, beliau bertanya kepadaku : "Mengapa tidak menghadirkan diri dalam perjumpaan pertama Kelab Orato?". Aku cuma menjawab yang aku sudah memasuki Kelab Pengguna. Ujarku lagi namaku sudah di label dalam kelab tersebut. Namun jawapanku dibidas mudah dengan mengatakan yang beliau akan berjumpa Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah untuk menukarkan namaku masuk ke kelab yang tidak aku fahami maksudnya itu. Beliau juga meminta untuk aku menghadirkan diri dalam perjumpaan kelab kedua pada minggu hadapannya. Aku cuma menelan air liur mendengar penjelasannya itu. Hendak aku bidas, tiada kemahiran. Lagi-lagi pangkatnya sebagai mahasifu debat sekolah. Memang gentar hendak berhadapan.
 |
Anak-anak Debat Ummi |
Seminggu kemudian, tibalah saat perjumpaan kelab. Pagi itu, berfikir juga aku untuk masuk ke Kelab Orato. Masuk. Tidak. Masuk. Tidak. Itulah yang menjadi igauan di fikiranku. Namun pada petang itu aku beranikan diri juga untuk mengikuti perjumpaan kelab tersebut yang di adakan di kelas 1B. Aku lihat dari jendela luar kelas, hampir semua ahlinya perempuan. Si jejaka pula boleh dikira dengan jari jumlahnya. Setelah aku memasuki kelas tersebut, baru aku menyedari rupanya cuma aku seorang pelajar tingkatan empat di situ. Rata-rata ahlinya pelajar tingkatan dua. Pelajar tingkatan satu, tiga, lima dan enam tidak pun mencecah tujuh orang bilangannya jika di campur kesemua. Hendak aku berpatah balik keluar dari kelas tersebut, mahasifu sudah menjemputku memilih tempat duduk yang aku inginkan. Sepanjang aku berada di situ aku cuma mendiamkan diri. Maklumlah, ahli yang aku biasa cuma beberapa orang. Yang lainnya, nama pun aku tak tahu. Nasiblah ada juga penyedap mata memandang yang membuatkan aku betah di dalam kelas tersebut (ahahak.. cerita tergendala sedikit.. tidak boleh dipapar umum). Bermula daripada hari itu, tersematlah aku sebagai ahli Kelab Orato. Aku hadirkan diri di hari-hari perjumpaan. Kelab yang dahulunya tidak aku ketahui kepentingannya kini aku mula fahami.
 |
SMK Kubong Limbang & SMK Merudi Baram Miri |
Di pertengahan tahun tingkatan empat mahasifu mempelawa aku untuk mengikuti pemilihan peserta bagi mewakili Pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak Zon H. Terkebil-kebil juga aku ketika itu. Tetapi apa-apapun aku tetap mencuba. Walaubagaimanapun aku tidak terpilih. Aku tidak kecewa ketika itu. Malahan aku merasa lagi seronok kerana itu memang harapanku. Aku juga sedar, yang aku memang tidak akan terpilih punya! Dengan tanganku yang terketar-ketar memegang kertas, sebutanku yang tak pernah nak betul, memang tidak ada rupa seorang pendebat tatkala aku membaca di hadapan. Tetapi walaupun aku tidak terpilih, aku tetap di beri peluang untuk mengikuti beberapa sesi latihan debat. Di situlah aku mula mempelajari bagaimana hendak berdebat. Di situlah juga aku menyedari bahawa berdebat bukanlah perkara yang mudah. Berdebat bukan hanya bercakap dan menghafal teks semata-mata tetapi memerlukan kebolehan-kebolehan lain untuk memantapkan lagi persembahan. Dalam latihan dunia perdebatan ini, aku andaikan seperti latihan olahraga. Setiap hari kita kena berlatih agar memperoleh stamina yang secukupnya untuk berdebat. Cuma bezanya dalam olahraga memerlukan kekuatan fizikal namun dalam dunia perdebatan memerlukan kekuatan mental. Mental kena kuat untuk menerima apa saja kritikan, pandangan, cacian, yang dilemparkan terhadap persembahan yang kita berikan. Jika ego yang ditampilkan, memang tidak kemanalah kita di persada debat ini. Cuma bertahan di tampuk kebolehan yang sama.
 |
Semangat Jingga 2009.. |
Semasa aku berada di tingkatan lima, sekali lagi aku di beri peluang untuk mengikuti pertandingan bahas. Aku masih ingat, di awal bulan Februari, di mana aku diminta untuk menyertai Pertandingan Bahas Piala Parlimen Peringkat Bahagian Limbang. Itulah pertandingan debat pertama yang aku ikuti. Pada masa itu, aku ditempatkan sebagai pembahas kedua. Di hari pertandingan, memang seram sejuk aku rasakan. Seawal kumpulan kami ditempatkan di Bilik Kuarantin lagi, jantungku sudah berdentum kencang mengalahkan pukulan gendang Cina ketika musim perayaan Tahun Baru Cina. Belum bercerita lagi di saat pertandingan, memang bergetar seluruh tubuhku. Kelibatku ibarat mendapat penyakit "pakinson" ketika beraksi. Cuma tuhan saja yang tahu betapa gemuruhnya aku rasakan. Dalam pertandingan itu, pasukan kami kurang bernasib baik. Kami kalah di tangan pasukan lawan. Walaubagaimanapun, keputusan itu langsung tidak mengecewakan aku. Bagiku, itu adalah pengalaman pertamaku. Dan bukannya penghujung perjuanganku.
 |
Hanif, Hasif, Liyana, Erlisa |
Semasa pemilihan pasukan bahas PKM, aku sekali lagi diberi peluang untuk mengikutinya. Percubaanku dalam uji bakat yang dianjurkan di antara ahli Kelab Orato kali ini diterima. Aku dibawa masuk menjadi ahli baru untuk pasukan bahas PKM. Tempat kedudukanku dalam pasukan debat ini masih sama seperti dalam Pertandingan Bahas Parlimen lepas. Pada mulanya, aku kurang minat untuk menjadi pendebat PKM. Tetapi mataku sedikit terbuka setelah di khabarkan tentang habuan yang akan aku terima jika pasukan sekolah mendapat johan dalam pertandingan itu. Tambahan lagi peluang untukku melancong keluar dari Limbang agak banyak. Itulah yang membuatkan hatiku tertarik lebih daripada minatku terhadap bahas. Hari demi hari aku mengikuti latihan gempur pasukan debat. Dalam sesi latihan yang berpanjangan ini, barulah aku merasakan kesensaraan, kepedihan, kederitaan, kesakitan dan segala macam keperitan menjadi budak debat. Bayangkan sepanjang masa dihabiskan dengan latihan debat. Setiap petang latihan debat akan bermula dari jam 0200 hinggalah larut senja. Kadang-kala, latihan ini berlarutan sehingga malam. Pada masa itu, cuma Bilik Multimedia menjadi saksi kesengsaraan yang kami hadapi. Namun semua ini dilakukan bukanlah untuk penyeksaan, tetapi lebih kepada bantuan untuk menampilkan persembahan yang berkualiti ketika di atas pentas nanti.
 |
Pentas Akhir Pertandingan Bahas PKM 2009 |
 |
Kenangan Terindah.. |
Dengan latihan yang jitu, semangat yang kental, akhirnya usaha kami membuahkan hasil. Satu demi satu pertandingan kami tempuhi dengan kemenangan. Sehinggalah pertandingan di Peringkat Akhir. Kejuaraan milik pasukan sekolah kami. Tiada kata yang mampu diungkapkan ketika itu. Kesengsaraan dan kepedihan yang kami hadapi sebelum itu di balas dengan kegembiraan. Hadiah wang tunai bernilai RM3000 menjadi habuan. Bermula dari saat itu, minatku terhadap dunia debat kian subur. Aku dulunya lebih berkiblatkan habuan kini benar-benar sudah menjiwai dunia perdebatan. Bagiku habuan yang tinggi tidak mampu membayar segala kenangan yang terdapat dalam lensa pasukan debat. Kenangan yang terindah ini cuma mampu dimiliki oleh mereka yang bergelar budak debat.
 |
Bingkisan debat 2010 |
 |
Pasukan Debat 2010 |
Tahun kedua aku menjadi budak debat ialah semasa di tingkatan 6 rendah. Tahun ini juga wujud dramanya yang tersendiri. Pada mulanya, aku tidak berniat hendak memasuki tingkatan 6 rendah. Niatku lebih tertumpu untuk terus memijakkan kaki ke menara gading. Namun apakan daya, bekalan keputusan SPMku cuma melayakkan aku mendapat pangkat sijil sahaja jika aku meneruskan niatku untuk menuntut di Menara Gading. Oleh sebab itu, niatku beralih arah kepada STPM. Pada tahun ini, aku diserap secara terus masuk pasukan debat sekolah. Tanpa pertandingan di peringkat bahagian, aku di bawa untuk mewakili peringkat Negeri. Penyertaanku dalam ahli debat tahun ini sudah lama aku ketahui iaitu ketika aku masih menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) lagi. Selesai PLKN, dengan penampilan ala-ala tentera, rambut botak skala 1cm, aku terus mendaftarkan diri ke sekolah. Belum sampai sebulanpun aku bergelar pelajar PRA-U, bermulalah kehidupanku sebagai budak debat semula. Latihan masih dijalankan seperti dahulu. Cuma berbeda tempat latihan dan ahli wanita pasukan debat. Kalau dulu menghabiskan masa di Bilik Multimedia, tetapi kini lebih kerap berlatih di Bilik Kokurikulum. Kalau dulu berlatih bersama Kak Erlisa dan Liyana, tetapi kini berlatih bersama Nadzirah dan Nadhirah. Itu cuma perubahan tempat dan ahli, namun cara sesi latihan gempur masih tidak berubah. Dalam pertandingan debat tahun 2010 ini, kami juga berjaya membawa nama sekolah ke pentas akhir. Namun rezeki tidak menyebelahi kami untuk bergelar juara, kami cuma akur dengan tempat kedua dalam pertandingan ini. Tetapi kami tetap bersyukur kerana di beri peluang untuk menjejakkan kaki ke pentas akhir.
 |
Aku Budak Debat.. |
 |
SMK Agama Limbang & SMK Kubong Limbang.. |
Tahun lepas merupakan tahun terakhir aku mengikuti pertandingan debat. Maklumlah, tahun terakhir menjadi budak sekolah. Dalam pertandingan debat 2011 ini, tidak banyak pengalaman hendak di kongsikan. (kalau benda untuk disangsikan tu ada lah.. ahahak). Tahun ini, merupakan tahun kejuaraan kali keenam SMK Kubong dalam pertandingan Bahas PKM peringkat zon H. Tahun ini juga aku telah dinobatkan sebagai pembahas terbaik peringkat zon H. Dalam pertandingan di peringkat negeri pula, rezeki sekali lagi tidak menyebelahi kami. Kami tewas di peringkat pertama. Perasaan ketika itu memanglah kecewa. Semangat kejuaraan punah di tengah jalan. Hanya pasrah yang menjadi pedamba hati. Walaupun kami pulang dengan hati yang lara, namun fikiran yang sentiasa positif menebal di dada. Bagi aku, setiap perkara yang terjadi itu ada hikmahnya. Dan hikmah dari kekalahan itu memang terpapar jelas di hadapan mata. Hanya mampu mengucapkan kesyukuran ketika diri berkalung hikmah dari-NYA. Ungkapan terima kasih ALLAH sentiasa terkumat di hujung bibir.
 |
Pasukan Debat 2011.. |
 |
Kilauan Emas..
Pasukan debat ibarat keluarga. Segala pemasalahan kita tempuh bersama. Di sinilah kami mengukir senyuman. Di sinilah juga kami memendam keresahan. Segala cerita kami kongsi bersama. Segala gosip dikontrovasikan sekata. Perhubungan ini akan terjalin sampai bila-bila. Kalau hendak dijadikan cerita, terlalu banyak hendak dikata. Mungkin bisa mencipta satu novel setebal tiga inci yang mengisahkan kehidupan seorang budak debat. Cukuplah sekadar bercerita tentang perjalanan seorang budak debat yang dulunya kosong tentang ilmu perdebatan kini sudah mula menyuburkan bibit-bibit tanaman dunia debatnya. Untuk menjadi seorang pendebat bukanlah semudah yang di sangkakan. Tetapi urusan itu akan menjadi mudah jika keikhlasan hati ditampilkan. Keegoan harus ditepis. Segala kritikan, tohmahan, cacian serta pujian sama ada dari guru, ahli debat, pelajar, orang biasa dan mereka yang langsung tidak tahu ilmu debat, harus diambil kira. Janganlah kita cuma mendengar pandangan mereka yang menakluki keluasan ilmu tentang debat. Kerana, jika kita mampu menyakinkan mereka yang tidak mengetahui tentang ilmu debat dengan cara kita berdebat, nescaya anda seorang pendebat yang hebat. Pesanan terakhir kepada mereka yang mengidam hendak menjadi budak debat, teruskan perjuangan anda. Kerana dunia ini pasti kau miliki. Ampun dipinta jika terkasar bahasa. Salam Ukuwwah! Salam Perdebatan!!
|